Want your
own Fotopage?







 


By: Lukman Abdullah dan Hiekal Rosli

[Recommend this Fotopage] | [Share this Fotopage]
View complete fotopage

Tuesday, 28-Dec-2010 03:10 Email | Share | Bookmark
Review - Felda Residence Hot Springs Sungai Klah

Felda Residence Hot Springs Sungai Klah – destinasi percutian keluarga!

Oleh: Noor Hasilah Ismail



Bukan mudah untuk mencari lokasi percutian yang memenuhi kehendak seisi keluarga. Apa yang disukai oleh ibu-bapa tidak semestinya memenuhi citarasa anak-anak.

Pasangan suami isteri yang kepenatan bekerja biasanya mahukan tempat yang damai dan nyaman serta mempunyai kemudahan seperti spa dan urutan tradisional, umpamanya.

Golongan remaja biasanya lebih meminati tempat yang mempunyai ciri-ciri pengembaraan dan keseronokan, sementara kanak-kanak lebih gemar bersukaria di kolam renang.

Mereka yang aktif bersukan sudah tentu mahukan tempat yang mempunyai sekurang-kurangnya kemudahan riadah dan rekreasi seperti trek untuk jogging, memanah atau berbasikal.

Bagi yang suka berhibur pasti menyukai tempat yang mempunyai kemudahan karaoke sementara bagi golongan profesional, kemudahan internet amat penting sekali.

Golongan warga tua yang mementingkan kesihatan pasti mahukan tempat di mana mereka boleh berehat, merawat, mencergaskan diri serta menyegarkan minda

Di Felda Residence Hot Springs Sungai Klah, Perak anda boleh menemui semua ciri-ciri ini!

Tempat yang menakjubkan ini bukan sahaja mempunyai ciri-ciri lengkap percutian keluarga, tetapi lanskap, serta flora dan faunanya begitu mempesonakan.









Perjalanan dari Kuala Lumpur ke Felda Residence Hot Springs adalah kira-kira 160 km. Jika mengikut had laju yang dibenarkan, pemanduan dari Kuala Lumpur ke situ mengambil masa antara sejam setengah hingga sejam 45 minit.

Dari Kuala Lumpur, anda boleh mengikut Lebuhraya Jalan Duta-Sungai Buloh dan jalan terus menghala ke utara sehingga menemui susur keluar ke tol Sungkai.

Selepas tol Sungkai, belok kiri dan pada kira-kira 1km di hadapan, anda boleh melihat papan arah ke Sungai Klah Hot Springs dan terus belok ke kiri.

Dari situ, anda terus memandu sejauh kira-kira 8km sehingga nampak papan arah ke Felda Residence Hot Springs Sungai Klah.

Sepanjang perjalanan anda akan melihat kehijauan pokok-pokok kelapa sawit. Anda juga akan melalui Felda Sungai Klah di mana terdapat beberapa Homestay di situ.

Felda Residence Hot Springs Sungai Klah sebelum ini dikenali dengan nama Taman Rekreasi Air Panas Sungai Klah (TRAP). Kawasan seluas 6.5 hektar ini yang terletak di kaki Banjaran Titiwangsa, diuruskan oleh Felda Plantation Resorts Sdn Bhd (PRSB).

Ia mula dibangunkan pada awal 2003 dengan kos awal berjumlah RM5 juta dan dibuka kepada orang ramai pada Disember 2003.

Berkonsep merehat-merawat-mencergas dan menyegarkan minda, ia adalah projek perintis pertama Felda di Malaysia bersumberkan air panas semulajadi yang terdapat di kawasan ini.

Sejak beroperasi ia telah berjaya menarik kira-kira 1.5 juta pengunjung dari dalam dan luar negara. Kebanyakan pelancong dari luar negara datang dari Singapura, Jepun dan Korea.

Felda Residence Hot Springs Sungai Klah pernah memenangi kategori tarikan pelancong paling menarik dari Majlis Tindakan Pelancongan Negeri Perak pada 2007.

Ia juga pernah mencatat nama dalam Malaysia Book of Records kerana kejayaan menganjurkan Acara Merebus Telor Terbanyak pada 2006. Sejumlah 50,480 biji telur berjaya direbus dalam masa 43 jam kolam air panas di kawasan itu.















Antara kemudahan yang disediakan di sini ialah 18 unit villa eksklusif dan bilik deluxe. Villa dibuat dalam bentuk 1, 2 dan 3 bilik serta dilengkapi dengan jacuzi persendirian, kemudahan dapur dan ruang ramu.

Tarikan utama Felda Residence Hot Springs Sungai Klah ialah kolam air panas dan kolam air sejuk. Kolam air sejuk dibahagi kepada dua bahagian, iaitu untuk orang dewasa dan kanak-kanak.
Kolam air sejuk ini amat sejuk kerana puncanya adalah daripada gunung dan ia dihiasai dengan air terjun buatan dan kemudahan gelonsor air untuk kanak-kanak.
Selain kolam air panas utama bersaiz Olimpik (bawah 35 darjah Selsius), terdapat beberapa kolam-kolam air panas yang dipisahkan mengikut suhu. Kolam-kolam ini dipercayai boleh memberikan kesan positif kepada beberapa jenis penyakit seperti stres, rheumatism, arthritis, insomnia, sakit pinggang, serta penyakit kulit.




















Terdapat sebuah kolam air panas khas yang suhunya setinggi 90 darjah digunakan untuk merebus telur. Bersebelahan kolam mini terdapat satu lagi kolam dengan suhu antara 40-45 darjah dan ia popular di kalangan pengunjung yang datang untuk merawat pelbagai jenis penyakit.

Bagi golongan yang mahukan “privacy” mereka boleh menggunakan kemudahan di Spa Village yang menyediakan Jacuzzi dan kolam air panas persendirian tertutup. Perkhidmatan urutan tradisional juga disediakan di spa ini








































Mereka yang ingin berjalan-jalan sambil “makan angin” boleh melalui laluan titi panjang yang dipanggil “Board-walk”. Sepanjang perjalanan ini anda boleh melihat punca-punca mata air panas dan mengalami “sauna terbuka” kerana suhu di kawasan ini sekitar 60-102 darjah Selsius.

Felda Residence Hot Springs Sungai Klah juga menyediakan surau, coffee house serta café yang dilengkapi kemudahan karaoke.

Keseluruhannya, dari segi keunikan, penginapan, kecantikan, kebersihan, kemudahan dan layanan, saya boleh memberikan antara 4 dan 5 bintang kepada hotel ini.























Bagaimanapun satu perkara yang agak mengecewakan dan perlu diberi perhatian di tempat ini ialah makanan di Coffee House. Tidak banyak pilihan dan rasanya kurang sedap.

Saya ingin mencadangkan supaya sama ada perkhidmatan makanan tempat ini diserahkan kepada Felda D’Saji ataupun Felda Residence Hot Springs Sungai Klah menghantar krew yang terbabit menjalani latihan di Restoran Felda D’Saji yang terkenal dengan kesedapannya.






Harga penginapan bagi Villa 1 bilik ialah RM450 semalam pada hari biasa dan RM600 pada hujung minggu (termasuk sarapan dan tiket ke Hot Springs). Sementara bagi Villa 2 bilik ialah RM500 dan RM800 (hujung minggu/cuti umum) dan Villa 3 bilik RM600 dan RM1,000 (hujung minggu).

Sementara harga penginapan untuk Bilik Standard Deluxe ialah RM150 semalam (hari biasa) dan RM220 (hujung minggu/cuti umum) Harga bagi kolam panas persendirian ialah RM15 seorang.

Untuk maklumat lanjut, anda boleh menghubungi Felda Travel Sdn Bhd di No 2 Jalan Maktab 5, Anjung Felda, Kuala Lumpur. Atau anda boleh menelefon 03-2697 9772 atau layari www.plantationresorts.com.my


View complete fotopage


© Pidgin Technologies Ltd. 2008.

ns4008229.ip-198-27-68.net